Tuesday 22 October 2013

Melalui, Menjalani dan, Mengatasi.


          Assalamualaikum dan hai semua. Jumpa lagi kita di tempat yang sama bersama topik yang berbeza. Topik harini macam emo sikit. Melalui, menjalani dan mengatasi. Perkara yang ada dalam kehidupan seharian kita tapi mungkin kita tidak sedar akan kehadirannya. Apa yang kita lalui, jalani dan atasi? Banyak yang kita lalui dan jalani, tapi adakah kita juga mengatasinya? Mari kita telusuri satu persatu.

          Dosa. Seharian kita melaluinya bahkan menjalaninya, tapi adakah kita mengatasinya. Saya manusia lemah. Saya melalui dan menjalani dosa pada suatu ketika hingga ia membuatkan saya terlena dari ganjaran pahala yang ada. Dek terbuai oleh "nikmatnya" dosa itu, saya terlupa mengatasinya. Tapi bersyukurlah saya kerana masih bernafas. Masih diberikan ruang dan peluang untuk mengatasinya. Tidak akan pernah terlambat bagi seseorang itu untuk mengatasi dosanya selagi dia masih hidup. Sesungguhnya janji-janji Allah itu pasti. Saya manusia lalai. Saya hamba yang hina. Seorang manusia yang terkadang menghambakan nafsu dan keduniaan lebih dari yang sewajarnya. Saat ini, langkah kecil telapak kakiku mahu mencuba untuk mengatasi dosa yang pernah dilakukan. Marilah kita bersama-sama mengatasinya. Sesungguhnya mati itu pasti. Dan tiada apa yang lebih pasti dari janji Allah kepada hambaNya. Saya yakin itu.

          Masalah. Perkara yang juga tak mungkin tak dialami oleh sesiapa. Semua orang punya masalah. Kita melalui masalah itu lalu terjebak dan terpaksa menjalani masalah itu. Tapi, bagaimana kita mengatasi masalah itu? Dengan melemparkan kemarahan kah? Dengan menulis kah? Atau dengan mencari jalan penyelesaian. Terlebih dahulu, kita harus rasional. Kerana tanpa rasionalisasi diri, tak mungkin masalah akan dapat diatasi. Lain orang lain caranya dalam mengatasi masalah. Tapi yakinlah, tiada masalah yang tiada jalan penyelesaian. Lalui, jalani serta atasilah masalah itu dengan penuh hemah. Sesungguhnya masalah boleh dijadikan panduan di hari mendatang, mempersiapkan diri agar lebih kental dalam menerima dan menempuh cabaran serta dugaan. Oleh itu, jangan pernah menyerah saat menjalani masalah, berusahalah sehingga ianya diatasi kerana yakinlah, semua orang bisa mengatasi masalah yang dihadapinya. Begitu juga saya, saya yakin masalah yang sedang dijalani ini boleh diatasi. Mungkin metodologi yang kita gunakan berbeza, tapi objektif kita sama; untuk menyelesaikan masalah. Saya mungkin menangis untuk membuat diri terasa lebih ringan sebelum saya bisa memikirkan jalan keluar. Kita berbeza, tapi sama.

          Pembohongan. Kita melalui pembohongan yang dilakukan orang sekeliling, menjalani pembohongan apabila menipu orang sekeliling dan mengatasi pembohongan apabila berkata akan kebenaran. Ada yang menipu demi kebaikan, ada yang berbohong demi menutup aib, ada yang berdusta kerana takut malu dan menipu kerana menjaga rahsia. Tapi harus sampai bila? Justeru ubat yang pahit yang menyembuhkan. Berkatalah benar walau ianya menyakitkan, kerana sekurang-kurangnya kita sakit ditimpa kebenaran bukan bahagia disuap pembohongan. Tak mudah untuk berkata benar, tapi cubalah selagi terdaya. Atasi pembohongan ini. Atasinya. Kita boleh.

          Datangnya idea ini akibat tekanan yang dirasakan lantasan terlalu banyak tanggungjawab yang dilemparkan atas bahu kecil ini. Saya cuba mengimbangi diri, tetapi kadang tersadung saat mencuba berdiri. Saya tahu saya tidak bersendiri. Allah ada disisi. Doa ibu kuat mengiringi. Semangat dihati yang tak akan pernah mati. Ya Allah, aku percaya ada sebab akan sesuatu keadaan yang aku lalui saat ini. Berikanlah aku ketabahan dalam melaluinya, berikan aku kesabaran dalam menjalaninya dan berikanlah aku kekuatan untuk mengatasinya. Sungguh, aku ini hambaMu yang hina. Wassalam.

No comments:

Post a Comment